26 September 2010

Cikgu Romlee Mahran

Seronok sekali apabila dapat bertemu dengan beliau. Walaupun perkenalan kami yang bermula hampir 10 bulan yang lalu hanya melalui medium siber, baru sekarang kami berkesempatan untuk bertemu. Sebetulnya, kunjugan saya kali ini ke Kuching adalah ingin bertemu dengan beliau.

Pertemuan kami tidak berjalan dengan lancar. Kesibukan beliau dengan satu majlis di Stadium Negeri Sarawak menghalang kami untuk bertemu pada waktu yang lebih sesuai. Saya juga berpendapat kami memerlukan pertemuan yang lain memandangkan saya tidak ingin menganggu beliau yang sibuk dengan tugasan yang sangat penting.

Kalau Allah sudah mengizinkan, sesibuk mana pun kami tetap boleh bertemu. Malam itu, sesudah tugasan di stadium, beliau datang menjemput saya. Kebetulan beliau masih belum menjamah apa-apa makanan sejak daripada tengahari. Pucuk dicita, ulam yang datang. Perut saya juga masih belum diisi dengan nasi. Hanya menjamah sebiji burger pada siang harinya. Orang Melayu, tanpa nasi satu hari memang tak boleh tidur.

Sebuah kedai makan yang terletak di BDC (Borneo Development Coperation), kedai yang selalu dikunjungi beliau, kami bersembang bermacam cerita sementara menunggu tempahan kami sampai. Beliau yang bercerita, saya hanya menjadi pendengar yang setia. Memandangkan beliau lebih (terlalu sebenarnya) senior daripada saya, saya menjadi ralit mendengar kisah-kisah pengalaman beliau.

Daripada meja makan, kami terus bercerita sehingga di tepi Sungai Sarawak sambil mengadap ke bangunan DUN Sarawak. Terlalu banyak pengalaman yang boleh dijadikan ikhtibar, terlalu banyak cerita yang boleh dijadikan khabar dan terlalu banyak nasihat yang boleh dijadikan ikhtiar. Kami melepak di sana sehingga hampir jam 2 malam. Kasihan saya melihatnya yang belum lagi hilang kepenatan kerana tugasan.

Apa yang membuatkan saya kagum terhadap beliau adalah sikap beliau yang melayan saya seolah-olah perbezaan umur kami hanya setahun dua. Sedangkan, perbezaan umur antara kami hampir 33 tahun. Beliau berusia 57 tahun (1 tahun lagi pencen) dan saya berusia 24 tahun (tahun 1 mengajar). Saya menyanjung keperibadian beliau.

Beliau adalah CIKGU ROMLEE MAHRAN, salah seorang daripada Jemaah Nazir di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. Beliau adalah salah seorang rakan FB saya. Kami sentiasa berbual melalui ruangan chat dan inilah kali pertama kami bertemu secara bersua muka. Saya berharap agar kita boleh ketemu lagi.



Ibnrahim: Lain kali saya ke Kuching, saya diam rumah cikgu la. Tak payah diam kat hotel lagi.