22 Januari 2010

9nyawa - Ramlee Awang Murshid



9nyawa, buah tangan terbaru daripada Ramlee Awang Murshid (RAM), novelis thriller no 1 Malaysia. Novel ini adalah karangan beliau yang ke-16 selepas Mikhail. RAM masih lagi menulis dengan genre 'killer'nya, thriller yang berjalan di atas jalur keagamaan dan percintaan.

9nyawa mengisahkan kehidupan Intan Suryani, pewaris kepada Syarikat D'Diamond yang juga anak tunggal kepada Azizah. Kehidupan Intan yang sering dikongkong oleh ibunya akibat daripada ketaksuban ibunya terhadap mitos 9 nyawa yang dimiliki oleh Intan. Sikap seorang ibu yang terlalu menyayangi anak menyebabkan Azizah sentiasa berada dalam keadaan rungsing memikirkan bilangan nyawa Intan yang semakin mengurang. Intan yang mempunyai masalah fungsi jantung yang lemah sentiasa bergantung kepada ubat, pengambilan yang tidak mengikut jadual akan mengakibatkan Intan tidak sedarkan diri serta akan mengurangkan nyawa yang dimiliki.

Setiap kali berada dalam keadaan koma, roh Intan seolah-olah tercampak ke dalam satu alam, iaitu antara alam hidup dengan alam mati. Pengembaraan Intan dalam alam tersebut telah menemukannya dengan Hakim, seorang buta yang mempunyai keistimewaan mendengar suara-suara manusia yang berada dalam keadaan sakaratulmaut. Dalam pengembaraan itu juga Intan telah diperlihatkan akan kebenaran disebalik setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupannya.

RAM juga banyak mengupas isu-isu semasa secara tidak langsung dalam novel ini. Kebanjiran pendatang tanpa izin yang mencari rezeki dan ada juga sebahagiannya yang melakukan jenayah terancang di Malaysia dan Singapura. Aktiviti penjualan barang seludup juga berlaku secara terang-terangan tanpa disedari oleh pihak berkuasa. Saudara RAM seperti ingin menggambarkan hakikat sebenar yang sedang berlaku dalam masyarakat sekarang. Selain itu, turut diselitkan kehebatan dalam melakukan ibadah dengan mendapatkan ketenangan yang maksimum seperti yang ditunjukkan oleh Azizah yang bertaubat, Dr. David@Daud yang menemui cahaya hidayah melalui Ahmad, rakan sekampus.



Secara keseluruhannya, saya memberi kredit kepada Ramlee Awang Murshid dengan karya terkini beliau, 9nyawa. RAM masih lagi tidak menghampakan peminat-peminat dengan menghasilkan karya-karya yang baik dengan konsisten. Novel-novel beliau sebelum ini pun masih lagi segar dan tidak dijemu untuk diulang baca. Tahniah.


15 Januari 2010

Kisah Anjing


"Wan, jom pergi kedai." Pelawa Cikgu Rusydi, PK1.

Aku menerima pelawaan itu. Tiada perancangan untuk membeli, sekadar ingin mengetahui lokasi kedai runcit. Mudah untuk aku membeli barangan runcit harian pada masa akan datang. Tidak perlu mengajak rakan sekerja sebagai teman. Kedai runcit tidaklah jauh daripada rumah kami, tidak berpeluh pun kami berjalan.

Semasa dalam perjalanan, beberapa ekor anjing sedang ber'santai'. Anjing memang diciptakan tidak mempunyai liang-liang peluh. Oleh itu, anjing yang berpeluh kepanasan akan menjelirkan lidah bagi mengimbangi suhu badan.



Aku sudah berasa tidak senang apabila melihat sekumpulan anjing. Aku berasal di Terengganu, tempat di mana kaum kambing merupakan kaum majoriti berbanding dengan golongan anjing. Berlainan di sini, anjing umpama kambing di tempat aku.

"Jangan takut Wan, jalan selamba je". Cikgu Rusydi cuba menenangkan aku yang sudah kelihatan takut-takut.

Anjing itu memandang kepada aku.

'Haa... Sudah.' Aku bermonolog.

Aku terus berjalan membuntuti Cikgu Rusydi. Anjing bangun dan mengekori aku. Aku makin rapat dengan belakang Cikgu Rusydi. Anjing makin dekat. Arghh... Aku lari masuk ke dalam kedai runcit. Anjing terus mengikuti aku. Nasib baik pak cik kedai runcit menghalau anjing itu.

"Cikgu, jangan takut. Anjing itu tak gigit orang." Pak cik kedai runcit tersengih seolah-olah memerli aku.

'Cis! Pak cik ingat saya ni macam pak cik ke? Boleh belai anjing-anjing tu. Walaupun tak gigit orang, saya kena samak la pak cik.' Aku menyumpah dalam hati.

Perjalanan pulang kami ditemani oleh pak cik kedai runcit itu. Semua anjing-anjing itu membuka laluan, ibarat kenamaan berjalan di atas 'karpet merah'. Aku serik untuk kedai runcit itu lagi. Selepas itu, aku hanya menyuruh anak muridku untuk membeli barang untuk aku, upah 'lima posen'.


12 Januari 2010

Cabaran - Part 1


"Bangun, selamat pagi cikgu." Laung ketua kelas.

"Selamat pagi cikgu." Diikuti oleh seorang murid lain.

Itulah situasi dalam kelas tahun 2. Hanya dua orang sahaja murid. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Frankie Pantal dan Chrischerlyn. Kedua-duanya Iban.

"Best la ko murid tak ramai." SMS seorang teman.

"Seronok la kalu macam tu, takde beban kerja." SMS seorang kawan.

"Takyah target tinggi-tinggi." SMS seorang rakan.


Kedengaran seperti mudah. Dua orang. Kerja senang. It's simple like A, B, C. Aku juga berfikiran sepeti itu. Dua orang lagi senang nak fokus. Tanggapan awal sentiasa silap. Kali pertama masuk kelas. Betul. Kedengarannya mudah, murid kurang, tidak lebih daripada 5 orang dalam satu kelas adalah kerja mudah bagi seorang guru. Aku pun berfikiran seperti itu pada awalnya. Tetapi, selepas sesi p/p pertama aku, aku terasa 'kesenangan' ini ada cabarannya tersendiri. cabaran ini tidak sama dengan cabaran sekolah luar bandar, sekolah bandar atau sekolah elit.

Aku bagaikan terpaku semasa berada di dalam kelas. aku menjadi buntu untuk berkata-kata. Walaupun aku mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru pelatih di tiga buah sekolah yang berbeza, yang mempunyai bilangan murid rata-rata 30 orang, tetapi 30 orang murid dan 5 orang murid amat berbeza cabarannya. semangat aku menjadi luntur. Bayangkan dalam kelas yang mempunyai 30 orang murid, tetapi yang hadir hanya tiga orang. 27 orang murid yang lain demam, M.C, ponteng, cuti rehat. Apa perasaan seorang guru? Begitulah cabarannya.

Situasi ini adalah situasi baru yang belum aku jumpa semasa pratikum. Aku perlukan sesuaikan diri dengan keadaan ini. aku perlu kuasai betul-betul mood murid. Kalau murid yang tidak mempunyai motivasi untuk belajar, aku perlu memotivasikannya untuk belajar. Ini kerana, persekitaran kelas termasuk rakan tidak membantu dalam proses mempengaruhi keinginan belajar. Kalau ketiga-tiga orang tidak bermotivasi, ketiga-tiga akan out.

Berlainan dengan kelas yang mempunyai 30 orang murid. Mustahil seramai 30 orang murid tiada motivasi untuk belajar. Sekurang-kurangnya hanya sekumpulan murid (5-6 orang) yang malas, tiada keinginan, kurang motivasi untuk belajar. Murid-murid yang lain akan terus bermotivasi dan berkeinginan untuk belajar. Dengan persekitaran yang begitu, tidak mustahil sekumpulan murid nakal ini akan terpengaruh dengan murid yang lain.

Cabaran buat aku. Aku ditugaskan mengajar bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Tetapi, sekolah aku adalah sekolah kawasan suku kaum iban. Kesemunya berbangsa Iban yang menggunakan bahasa Iban sebagai bahasa utama, bahasa pertuturan mereka. mereka boleh membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Ada sesetengah daripada mereka boleh membaca dengan lancar. Namun, mereka hanya boleh membaca dan menulis dengan baik tetapi mereka tidak memahami apa yang dibaca, apa yang ditulis. Ibarat aku membaca Al-Quran. Aku lancar membaca Al-Quran, tetapi aku tidak mengerti maknanya melainkan aku merujuk kepada kitab tafsir. Inilah cabaran terbesar aku. Aku perlu mempunyai sebuah kitab tafsir bahasa melayu, Kamus Dewan.

Di mana kitab aku? Aku lupa membawanya. Sekarang aku hanya merujuk kepada memori jangka panjang aku. Aku harap aku boleh membantu anak-anak suku kaum Iban mengenali bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Aku juga perlu mempelajari bahasa Iban yang kedengaran seperti bahasa Jepun.

"Nama gagat deq?" Maksud, kamu tengah buat apa? Frasa Iban yang aku belajar daripada Frankie, murid tahun 2.

Give and take.

Aku mengajar, aku belajar. Kamu belajar, kamu mengajar.





10 Januari 2010

Sarawak Bumi Kenyalang


Sarawak Bumi Kenyalang? Tapi di mana burung kenyalang, tidak pernah nampak pun walau seekor. Ah.. Itu dulu. Sama seperti Terengganu yang terkenal dengan penyu. Itu dulu, sekarang nak tengok penyu bertelur susah nak jumpa.


Sekarang aku berada di negeri Sarawak. Negeri yang tidak pernah aku sampai. Berada disini sebagai seorang guru. Fisrt posting aku disini. Tempat yang tidak pernah aku angan-angankan. Disini rezeki aku berada. Disini tempat dimana aku mencari rezeki dan mendidik anak-anak suku kaum Iban.

SK Bakerkong Daro. Sekolah kurang murid yang hanya mempunyai 19 orang murid dan 11 orang guru. Pertama kali berada disini, aku berasa kurang selesa. Tempat baru, budaya baru, cara baru, orang baru, pengalaman baru semuanya baru.

Walaupun tempat aku dikategorikan sebagai P2, iaitu kawasan susah hidup, tapi aku mempunyai kemudahan yang agak selesa. Hanya bekalan air disini terhad. Hanya bergantung kepada air hujan. Sekarang adalah musim hujan. Boleh dikatakan bekalan masih ada, dan tidak putus. Musim kemarau yang mendatang aku risaukan. Bagaimana keadaannya. Menurut cikgu-cikgu disini, pada musim itu, bekalan air adalah terhad dan hanya digunakan untuk perkara-perkara penting sahaja. Mandi, masak, minum, wudhu'. Pakaian dibasuh dalam keadaan berjimat. Basuh motor bukan perkara penting.

Kawasan Bakerkong ini adalah kawasan suku kaum Iban. Majoriti adalah kristian. Hanya sebuah keluarga Islam dalam kalangan mereka. Ayah, ibu dan seorang anak mereka. 11 orang guru, sembilan guru yang beragama Islam, enam daripadanya berasal dari semenanjung termasuk aku. Solat jumaat darurat untuk didirikan. Masjid terdekat adalah lebih kurang 10 km dari tempat aku. Tetapi, kawasan tersebut mempunyai tidak lebih daripada 40 orang muslim, masih lagi dalam keadaan darurat untuk bersolat fardhu jumaat.

Jumaat pertama aku disini, aku pergi ke masjid tersebut. Untuk melihat suasana masjid. Hanya terdapat 16 orang ma'mum. Mereka masih lagi menunaikan rukun-rukun solat jumaat. Dimulai dengan 2 khutbah. Mereka akan menunaikan solat jumaat 2 rakaat. Kemudian, mereka akan menunaikan solat fardu zohor 4 rakaat. Solat serta khutbah jumaat sekadar menghormati seruan agama pada penghulu hari.

Inilah keringanan dalam beribadat. Walaupun perkara ibadat itu wajib dan fardhu, tapi ada waktu dan tempatnya ianya dipermudahkan. Allah Maha Mengetahui kekuataan dan kelemahan setiap hambaNya.