30 April 2010

Kurang Mengerti

Artikel ini adalah 'respond' kepada surat daripada Mohammad Shafiq Sohot yang tersiar dalam Berita Harian bertarikh 30 April 2010 [klik sini]. Surat tersebut bertajuk ' Pensyarah Merungut Kerjaya Memalukan Diri Sendiri'. Kandungan surat tersebut adalah pendapat beliau mengenai isu beban kerja guru yang bertambah. Antara lain beliau mengatakan bahawa sikap guru atau pensyarah yang gemar merengek manja mengenai beban kerja amat menjengkelkan.

Saya merasakan beliau tidak begitu faham mengenai tugas utama seorang guru dan kenapa kebanyakkan guru mengeluh mengenai beban kerja mereka.

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan [klik sini], pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelektual, rohani, emosi dan jasmani. Sehubungan itu, tugas utama guru adalah mendidik dan mengajar anak bangsa secara komited bagi memenuhi keempat-empat aspek tersebut.

Rungutan dan keluhan guru adalah berkaitan dengan kerja-kerja luar bidang yang sepatutnya dilakukan oleh pihak pentadbiran yang menganggu tugas utama guru iaitu, menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Permasalahan ini langsung tidak berkaitan dengan keikhlasan dan kesungguhan guru dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Katakan seorang jurutera geoteknikal yang dibayar oleh Petronas untuk melaksanakan sebarang proses kejuruteraan struktur di pelantar minyak sejauh Miri atau Kerteh selama sebulan di tengah lautan dalam dan langsung tidak bertemu dengan keluarga selama tempoh itu, beliau yakin sepenuhnya bahawa jurutera itu tidak akan membantah atau mengeluh.

Bagaimana sekiranya jurutera tersebut diarahkan melakukan kerja-kerja tambahan seperti mencuci pelantar itu atau menggantikan tukang masak yang sedang bercuti? Ini sebenarnya gambaran tentang keluhan dan rungutan guru pada masa sekarang. Keluhan mereka bukan berkisar tentang tanggungjawab yang diamanahkan.

Hanya orang yang ahli dalam bidang tertentu akan dapat menyelami permasalahan dalam bidang tersebut. Pemandu kereta sewa tidak akan dapat memandu kapal terbang, walaupun kedua-duanya adalah 'drebar'.

13 April 2010

Terdetik Seketika...

Tenang malam bulan nan terang,
Unggas berlagu memanggil kekasih,
Megah lagu melodi yang ku karang,
Indah hidup kerana kekasih.

Ranum lazat buah kurma,
Wangi bau pekat kopi,
Dinihari menanti untuk menjelma,
Izinkan aku beradu sepi.

Dekat padamu hajatnya hati,
Gusar melanda teringat mati,
Esok hari mentari menanti,
Moga ketemu dia di dalam hati.

Guru Pedalaman vs Guru Bandar

Sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu yang ditimbulkan mengenai perguruan, sama ada ia dicetuskan oleh guru sendiri atau orang 'luar' yang mungkin menganggap guru adalah 'anak emas' kerajaan. Bermula dengan isu kenaikan elaun pedalaman, isu mengenai beban guru yang meningkat dan sekarang timbul pula pendebatan antara guru pedalaman dan guru bandar.

Saya adalah seorang guru baru yang mengajar di kawasan pedalaman (P2) Sarawak, yang mungkin masih lagi belum arif mengenai dunia perguruan ini sekiranya dibandingkan dengan guru-guru 'otai' yang sering memberi pendapat melalui media massa. Namun, tidak salah rasanya jika saya ingin memberi pendapat, cetusan idea, perasaan serta bisikan naluri yang sentiasa ditusuk dengan tekanan kehidupan.

Utusan Malaysia yang bertarikh 12 April 2010, dalam ruangan MySekolah telah membicarakan tentang cabaran guru yang mengajar di bandar. Setelah membaca artikel tersebut, saya berpendapat guru-guru tersebut masih lagi bertuah kerana mempunyai kehidupan yang agak selesa berbanding dengan kami di pedalaman. Maaf jika kenyataan saya ini menyinggung perasaan guru-guru. Jangan dikatakan saya ini tidak menghormati orang yang lebih senior, yang lebih dahulu merasa garam di dunia daripada saya.

Menurut artikel tersebut, terdapat guru yang mengajar di bandar terpaksa bangun seawal 5.30 pagi serta ada juga yang bersolat subuh setiap hari di surau sekolah. Pergi awal subuh pulang maghrib sudah menjadi rutin guru-guru tersebut. Cabaran ini memang tidak akan ditempuhi oleh guru-guru pedalaman kerana kebanyakkan guru di pedalaman tinggal di kaunters yang berhampiran dengan sekolah. Tetapi bagi saya, perkara ini memang sudah menjadi kelaziman kepada penduduk di bandar-bandar. Perkara ini bukan sahaja berlaku kepada guru saya kira, ia dihadapi oleh semua penduduk walaupun hanya seorang salesman. Mohon ampun jika saya terkasar bahasa.

Sementara itu, seorang guru berkata bahawa kesedaran ibu bapa di bandar terhadap pendidikan menjadi satu beban kepada guru untuk memberi yang terbaik kepada anak mereka. Berdepan dengan ibu bapa yang ‘intelektual’ menuntut kesabaran yang tinggi kerana jika tersalah jawab boleh timbul pertelingkahan atau diheret ke pengadilan. Saya cuba membayangkan situasi ini. Pada pendapat saya, situasi ini mungkin berlaku apabila ibu bapa murid itu terlalu ‘bijak dan intelektual’ serta anak mereka seorang yang ‘lebih pandai’ daripada guru. Ini memang satu cabaran berat, yang menguji kesabaran serta keimanan para guru.

‘Siapa guru? Akukah kamu?’. Dialog sebegini mungkin boleh membawa wang(saman) kepada ibu bapa.

Saya merasakan cabaran sebegini juga berlaku kepada guru-guru pedalaman kerana guru pedalaman juga mengalami masalah yang sama dalam aspek prestasi murid-murid. Murid-murid di pedalaman tidak sama dengan murid yang berada di bandar dari segi pemikiran, motivasi serta ke’benda’an. Ini lebih mencabar saya rasakan kerana guru-guru perlu memahami keadaan mereka terlebih dahulu. Guru perlu menjadi ‘mereka’, barulah guru dapat membantu mereka dalam pembelajaran. Guru perlu mengkaji mereka terlebih dahulu sebelum dapat mengajar mereka. Sehubungan itu, dapat saya katakan guru bandar dan guru pedalaman mempunyai cabaran yang berbeza tetapi masih menuntut komitmen yang tinggi sebagai pendidik.

Cuma, saya ingin mengingatkan rakan-rakan guru sekalian bahawa kehidupan guru di pedalaman lebih perit jika difikirkan. Kekurangan keperluan asas memang satu cabaran sangat besar kepada kami. Saya katakan ‘keperluan’, bukan ‘kemudahan’. Bayangkan di kawasan tertentu tiada hospital atau klinik, balai bomba, balai polis, pejabat pos. Bagaimana jika berlaku kes-kes kecemasan? Perkara yang tidak diingini ini pernah berlaku kepada seorang guru. Guru tersebut menerima surat panggilan temuduga pengesahan jawatan hanya beberapa sebelum tarikh temuduga, bagaimana dengan persediaan temuduga tersebut? Walaupun perkara sebegini berlaku, kami masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru, mengajar serta mendidik anak murid kami. Hanya kes-kes terpencil yang berlaku seperti melarikan diri ketika bertugas, saya akui hal itu pernah berlaku kerana guru tersebut tidak tahan serta lasak dengan cabaran.

Kesimpulannya, saya merasakan tidak perlu diperdebatkan isu-isu yang berkaitan dengan cabaran siapa yang lebih hebat. Apa yang penting, kita sebagai guru perlu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin. Walaupun di pedalaman, tidak selamanya akan berada di sana. Secara peribadi, saya merasakan seperti ada sesuatu yang cuba mencabar kewibawaan kita sebagai seorang guru.

Seribu kemaafan saya pinta jika artikel ini sedikit sebanyak mengguris perasaan anda serta dapat menimbulkan kemarahan para guru sekalian. Tiada niat ingin berbalah, tidak ada sekelumit untuk meminta simpati, hanya sekadar luahan pendapat seorang guru di pedalaman tentang realiti guru di pedalaman.

Jazakallahu khairan kathira
Wassalam

02 April 2010

Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR 20 Mac - Kabinet telah membuat keputusan untuk menambah masa pembelajaran subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah berkuat kuasa pada sesi persekolahan 2011. (Petikan daripada Utusan Malaysia Online)

Pihak kementerian telah mengarahkan masa pengajaran dan pembelajaran (PnP) bagi subjek Bahasa Melayu untuk tahap 1 ditambah dari 270 minit kepada 330 minit seminggu, manakala bagi tahap 2 dari 180 minit kepada 270 minit seminggu. Penambahan masa PnP bagi subjek Bahasa Melayu hanya melibatkan sekolah jenis kebangsaan (SJK) sama ada SJK Cina dan SJK Tamil. Kedua - dua buah sekolah jenis ini mempunyai majoriti murid dan guru bukan Melayu. Perkara ini selaras dengan dasar kerajaan dalam Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Namun begitu, adakah pihak kementerian terlepas pandang kepada sekolah kebangsaan (SK) yang mempunyai murid dari keturunan orang asli dan etnik-etnik di Sabah dan Sarawak? Situasi mereka masih sama dengan murid-murid yang berada di SJK. Mereka juga bukan berbangsa dan berbahasa Melayu. Kesukaran guru bahasa mengajar murid-murid orang asli dan suku kaum Sabah dan Sarawak adalah sama, dan mungkin lebih mencabar berbanding dengan guru SJK kerana mereka tinggal di kawasan pendalaman dan taraf hidup mereka lebih rendah serta tahap pemikiran mereka masih berada dalam satu 'kotak yang tertutup'.

Oleh itu, pihak kementerian sepatutnya lebih peka dan 'cakna' dengan perkara sebegini, tingkatkan masa PnP bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di SK bukan Melayu. Kami di pendalaman sentiasa terkebelakang dalam banyak perkara. Memartabatkan Bahasa Melayu adalah sebahagian daripada tugas guru Bahasa Melayu, dan murid sekolah rendah adalah agen dalam perkembangan Bahasa Melayu.