15 Januari 2010

Kisah Anjing


"Wan, jom pergi kedai." Pelawa Cikgu Rusydi, PK1.

Aku menerima pelawaan itu. Tiada perancangan untuk membeli, sekadar ingin mengetahui lokasi kedai runcit. Mudah untuk aku membeli barangan runcit harian pada masa akan datang. Tidak perlu mengajak rakan sekerja sebagai teman. Kedai runcit tidaklah jauh daripada rumah kami, tidak berpeluh pun kami berjalan.

Semasa dalam perjalanan, beberapa ekor anjing sedang ber'santai'. Anjing memang diciptakan tidak mempunyai liang-liang peluh. Oleh itu, anjing yang berpeluh kepanasan akan menjelirkan lidah bagi mengimbangi suhu badan.



Aku sudah berasa tidak senang apabila melihat sekumpulan anjing. Aku berasal di Terengganu, tempat di mana kaum kambing merupakan kaum majoriti berbanding dengan golongan anjing. Berlainan di sini, anjing umpama kambing di tempat aku.

"Jangan takut Wan, jalan selamba je". Cikgu Rusydi cuba menenangkan aku yang sudah kelihatan takut-takut.

Anjing itu memandang kepada aku.

'Haa... Sudah.' Aku bermonolog.

Aku terus berjalan membuntuti Cikgu Rusydi. Anjing bangun dan mengekori aku. Aku makin rapat dengan belakang Cikgu Rusydi. Anjing makin dekat. Arghh... Aku lari masuk ke dalam kedai runcit. Anjing terus mengikuti aku. Nasib baik pak cik kedai runcit menghalau anjing itu.

"Cikgu, jangan takut. Anjing itu tak gigit orang." Pak cik kedai runcit tersengih seolah-olah memerli aku.

'Cis! Pak cik ingat saya ni macam pak cik ke? Boleh belai anjing-anjing tu. Walaupun tak gigit orang, saya kena samak la pak cik.' Aku menyumpah dalam hati.

Perjalanan pulang kami ditemani oleh pak cik kedai runcit itu. Semua anjing-anjing itu membuka laluan, ibarat kenamaan berjalan di atas 'karpet merah'. Aku serik untuk kedai runcit itu lagi. Selepas itu, aku hanya menyuruh anak muridku untuk membeli barang untuk aku, upah 'lima posen'.


1 ulasan:

fahmi ibrahim berkata...

ni la pengalaman kan... dah 3 bulan kat sana mesti banyak pengalaman baru dok..

Catat Ulasan

Tinggalkan pendapat anda