Memaparkan catatan dengan label Diari Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diari Kehidupan. Papar semua catatan

26 September 2010

Cikgu Romlee Mahran

Seronok sekali apabila dapat bertemu dengan beliau. Walaupun perkenalan kami yang bermula hampir 10 bulan yang lalu hanya melalui medium siber, baru sekarang kami berkesempatan untuk bertemu. Sebetulnya, kunjugan saya kali ini ke Kuching adalah ingin bertemu dengan beliau.

Pertemuan kami tidak berjalan dengan lancar. Kesibukan beliau dengan satu majlis di Stadium Negeri Sarawak menghalang kami untuk bertemu pada waktu yang lebih sesuai. Saya juga berpendapat kami memerlukan pertemuan yang lain memandangkan saya tidak ingin menganggu beliau yang sibuk dengan tugasan yang sangat penting.

Kalau Allah sudah mengizinkan, sesibuk mana pun kami tetap boleh bertemu. Malam itu, sesudah tugasan di stadium, beliau datang menjemput saya. Kebetulan beliau masih belum menjamah apa-apa makanan sejak daripada tengahari. Pucuk dicita, ulam yang datang. Perut saya juga masih belum diisi dengan nasi. Hanya menjamah sebiji burger pada siang harinya. Orang Melayu, tanpa nasi satu hari memang tak boleh tidur.

Sebuah kedai makan yang terletak di BDC (Borneo Development Coperation), kedai yang selalu dikunjungi beliau, kami bersembang bermacam cerita sementara menunggu tempahan kami sampai. Beliau yang bercerita, saya hanya menjadi pendengar yang setia. Memandangkan beliau lebih (terlalu sebenarnya) senior daripada saya, saya menjadi ralit mendengar kisah-kisah pengalaman beliau.

Daripada meja makan, kami terus bercerita sehingga di tepi Sungai Sarawak sambil mengadap ke bangunan DUN Sarawak. Terlalu banyak pengalaman yang boleh dijadikan ikhtibar, terlalu banyak cerita yang boleh dijadikan khabar dan terlalu banyak nasihat yang boleh dijadikan ikhtiar. Kami melepak di sana sehingga hampir jam 2 malam. Kasihan saya melihatnya yang belum lagi hilang kepenatan kerana tugasan.

Apa yang membuatkan saya kagum terhadap beliau adalah sikap beliau yang melayan saya seolah-olah perbezaan umur kami hanya setahun dua. Sedangkan, perbezaan umur antara kami hampir 33 tahun. Beliau berusia 57 tahun (1 tahun lagi pencen) dan saya berusia 24 tahun (tahun 1 mengajar). Saya menyanjung keperibadian beliau.

Beliau adalah CIKGU ROMLEE MAHRAN, salah seorang daripada Jemaah Nazir di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. Beliau adalah salah seorang rakan FB saya. Kami sentiasa berbual melalui ruangan chat dan inilah kali pertama kami bertemu secara bersua muka. Saya berharap agar kita boleh ketemu lagi.



Ibnrahim: Lain kali saya ke Kuching, saya diam rumah cikgu la. Tak payah diam kat hotel lagi.

26 Jun 2010

Propaganda Media

Sebentar tadi saya baru menonton iklan yang mempromosikan siaran Piala Dunia 2010 di TV1 dan TV2 (RTM). Iklan tersebut berkisar tentang dua beranak (mungkin ayah dan anak) membeli peti televisyen yang baru semata-mata untuk menonton siaran piala dunia. Mereka terpaksa mendayung sampan yang agak 'ngeri' untuk pulang ke rumah mereka. Apabila saya menonton iklan tersebut, saya tersenyum sendirian teringatkan perasaan saya sebelum tiba di Sarawak ini. Begitulah yang saya bayangkan, perlu mendayung sampan yang se'ngeri' itu.

Namun, sangkaan itu meleset sama sekali kerana pengangkutan air di sini adalah pengangkutan utama. Sampan sebegitu hanyalah untuk kegunaan peribadi dan hanya digunakan untuk perjalanan yang berhampiran dengan kawasan kampung sahaja. Kebanyakkan kampung-kampung di sini adalah di pinggir sungai.

Pengangkutan air di sini menggunakan feri-feri panjang yang dipanggil 'ekspres' untuk pergi ke mana-mana destinasi. Namun, ada sesetengah yang menggunakan speed boat yang boleh memuatkan 20 orang dalam satu masa. 'Ekspres' di sini sangat selesa dan ada juga 'ekspres' yang menyediakan minuman kepada penumpang.

Di sini saya 'upload'kan beberapa keping gambar keadaan sebenar pengangkutan air di Sarawak.



Feri panjang yang dipanggil ekspres


Ekspres dari sisi


Pemandangan di dalam ekspres


Sesetengah tempat perlu menaiki speed boat


Feri untuk menyeberangi sungai


Pemandangan di atas feri

06 Mac 2010

Pelaburan Yang Kurang Menguntungkan

Minggu hadapan adalah minggu ke-10 saya bertugas sebagai guru. Selama sembilan minggu bergelumang dengan warna-warni dunia pendidikan masih belum dikira sebagai satu tempoh yang panjang. Benih yang disemai masih belum lagi bertunas. Tempoh ini terlalu singkat untuk dinilai.

Saya adalah antara produk pertama pemegang ijazah perguruan kelahiran IPG. Selama 5 setengah tahun diisi dengan ilmu-ilmu perguruan. Kalau dibandingkan dengan seekor singa, tempoh 5 setengah tahun sudah dapat menjinakkan raja haiwan itu.

Sepanjang tempoh bermaustatin di institut pendidikan guru (IPG), sebanyak tiga buah sekolah telah menjadi tempat untuk saya menjalani latihan pratikum. Sebanyak empat buah sekolah sebagai persinggahan untuk meneguk sedikit pengalaman dalam program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), yang sebelum ini dikenali sebagai Rancangan Orientasi Sekolah (ROS). Keseluruhannya adalah sebanyak tujuh buah sekolah yang telah memberi sedikit sebanyak erti sebagai seorang guru. Ini tidak termasuk lagi beberapa buah sekolah yang saya lawati untuk menjalakan tugasan subjek.

Namun, hakikatnya, kesemuanya adalah sekolah yang terletak di dalam jajahan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Negeri kelahiran saya, negeri yang tidak pernah tinggalkan selama 23 tahun. Saya sudah fasih ber’loghat’ Terengganu, makan ‘kepok lekor’, ‘makang ikang aye’ dan makan Nasi Dagang.

Inilah kerugian dalam pelaburan saya semasa proses menjadi seorang guru. Sekarang saya ditempatkan di negeri Sarawak. Hampir 100% berbeza dengan suasana saya sebelum ini. Makanan, adat, budaya, fahaman politik, suasana keagamaan; segalanya berbeza.

Sekarang, saya seperti seorang yang baru menjengah ke alam perguruan. Segala pengalaman semasa tempoh pratikum payah untuk diaplikasikan di sini. Semasa pratikum, saya tidak menghadapi banyak kesukaran untuk mengajar, menarik minat murid, bergaul dengan rakan setugas, minum kopi dengan penduduk kampung. Ini kerana mereka adalah rakyat negeri Terengganu. Saya adalah rakyat negeri Terengganu. Saya boleh memahami loghat mereka, budaya mereka, tatacara mereka. Oleh itu, proses menimba pengalaman baru tidak berlaku kepada saya. Dengan kata lain, saya tidak belajar.

Keadaan ini berbeza dengan rakan-rakan yang bukan berasal di negeri Terengganu, sekurang-kurangnya mereka boleh belajar perkara baru dalam hidup mereka apabila bergaul dengan penduduk setempat. Mereka lebih beruntung.

Inilah cabaran yang perlu saya tempuhi. Cabaran yang tidak akan saya temui di tempat lain. Inilah peluang saya untuk mengenali masyarakat lain. Peluang yang rakan-rakan lain tidak dapat menikmatinya. Di sinilah letaknya kematangan saya sebagai seorang guru, sebagai seorang guru siswazah.


Alah bisa, tegal biasa.

Tak kenal maka tak cinta.

15 Januari 2010

Kisah Anjing


"Wan, jom pergi kedai." Pelawa Cikgu Rusydi, PK1.

Aku menerima pelawaan itu. Tiada perancangan untuk membeli, sekadar ingin mengetahui lokasi kedai runcit. Mudah untuk aku membeli barangan runcit harian pada masa akan datang. Tidak perlu mengajak rakan sekerja sebagai teman. Kedai runcit tidaklah jauh daripada rumah kami, tidak berpeluh pun kami berjalan.

Semasa dalam perjalanan, beberapa ekor anjing sedang ber'santai'. Anjing memang diciptakan tidak mempunyai liang-liang peluh. Oleh itu, anjing yang berpeluh kepanasan akan menjelirkan lidah bagi mengimbangi suhu badan.



Aku sudah berasa tidak senang apabila melihat sekumpulan anjing. Aku berasal di Terengganu, tempat di mana kaum kambing merupakan kaum majoriti berbanding dengan golongan anjing. Berlainan di sini, anjing umpama kambing di tempat aku.

"Jangan takut Wan, jalan selamba je". Cikgu Rusydi cuba menenangkan aku yang sudah kelihatan takut-takut.

Anjing itu memandang kepada aku.

'Haa... Sudah.' Aku bermonolog.

Aku terus berjalan membuntuti Cikgu Rusydi. Anjing bangun dan mengekori aku. Aku makin rapat dengan belakang Cikgu Rusydi. Anjing makin dekat. Arghh... Aku lari masuk ke dalam kedai runcit. Anjing terus mengikuti aku. Nasib baik pak cik kedai runcit menghalau anjing itu.

"Cikgu, jangan takut. Anjing itu tak gigit orang." Pak cik kedai runcit tersengih seolah-olah memerli aku.

'Cis! Pak cik ingat saya ni macam pak cik ke? Boleh belai anjing-anjing tu. Walaupun tak gigit orang, saya kena samak la pak cik.' Aku menyumpah dalam hati.

Perjalanan pulang kami ditemani oleh pak cik kedai runcit itu. Semua anjing-anjing itu membuka laluan, ibarat kenamaan berjalan di atas 'karpet merah'. Aku serik untuk kedai runcit itu lagi. Selepas itu, aku hanya menyuruh anak muridku untuk membeli barang untuk aku, upah 'lima posen'.


12 Januari 2010

Cabaran - Part 1


"Bangun, selamat pagi cikgu." Laung ketua kelas.

"Selamat pagi cikgu." Diikuti oleh seorang murid lain.

Itulah situasi dalam kelas tahun 2. Hanya dua orang sahaja murid. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Frankie Pantal dan Chrischerlyn. Kedua-duanya Iban.

"Best la ko murid tak ramai." SMS seorang teman.

"Seronok la kalu macam tu, takde beban kerja." SMS seorang kawan.

"Takyah target tinggi-tinggi." SMS seorang rakan.


Kedengaran seperti mudah. Dua orang. Kerja senang. It's simple like A, B, C. Aku juga berfikiran sepeti itu. Dua orang lagi senang nak fokus. Tanggapan awal sentiasa silap. Kali pertama masuk kelas. Betul. Kedengarannya mudah, murid kurang, tidak lebih daripada 5 orang dalam satu kelas adalah kerja mudah bagi seorang guru. Aku pun berfikiran seperti itu pada awalnya. Tetapi, selepas sesi p/p pertama aku, aku terasa 'kesenangan' ini ada cabarannya tersendiri. cabaran ini tidak sama dengan cabaran sekolah luar bandar, sekolah bandar atau sekolah elit.

Aku bagaikan terpaku semasa berada di dalam kelas. aku menjadi buntu untuk berkata-kata. Walaupun aku mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru pelatih di tiga buah sekolah yang berbeza, yang mempunyai bilangan murid rata-rata 30 orang, tetapi 30 orang murid dan 5 orang murid amat berbeza cabarannya. semangat aku menjadi luntur. Bayangkan dalam kelas yang mempunyai 30 orang murid, tetapi yang hadir hanya tiga orang. 27 orang murid yang lain demam, M.C, ponteng, cuti rehat. Apa perasaan seorang guru? Begitulah cabarannya.

Situasi ini adalah situasi baru yang belum aku jumpa semasa pratikum. Aku perlukan sesuaikan diri dengan keadaan ini. aku perlu kuasai betul-betul mood murid. Kalau murid yang tidak mempunyai motivasi untuk belajar, aku perlu memotivasikannya untuk belajar. Ini kerana, persekitaran kelas termasuk rakan tidak membantu dalam proses mempengaruhi keinginan belajar. Kalau ketiga-tiga orang tidak bermotivasi, ketiga-tiga akan out.

Berlainan dengan kelas yang mempunyai 30 orang murid. Mustahil seramai 30 orang murid tiada motivasi untuk belajar. Sekurang-kurangnya hanya sekumpulan murid (5-6 orang) yang malas, tiada keinginan, kurang motivasi untuk belajar. Murid-murid yang lain akan terus bermotivasi dan berkeinginan untuk belajar. Dengan persekitaran yang begitu, tidak mustahil sekumpulan murid nakal ini akan terpengaruh dengan murid yang lain.

Cabaran buat aku. Aku ditugaskan mengajar bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Tetapi, sekolah aku adalah sekolah kawasan suku kaum iban. Kesemunya berbangsa Iban yang menggunakan bahasa Iban sebagai bahasa utama, bahasa pertuturan mereka. mereka boleh membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Ada sesetengah daripada mereka boleh membaca dengan lancar. Namun, mereka hanya boleh membaca dan menulis dengan baik tetapi mereka tidak memahami apa yang dibaca, apa yang ditulis. Ibarat aku membaca Al-Quran. Aku lancar membaca Al-Quran, tetapi aku tidak mengerti maknanya melainkan aku merujuk kepada kitab tafsir. Inilah cabaran terbesar aku. Aku perlu mempunyai sebuah kitab tafsir bahasa melayu, Kamus Dewan.

Di mana kitab aku? Aku lupa membawanya. Sekarang aku hanya merujuk kepada memori jangka panjang aku. Aku harap aku boleh membantu anak-anak suku kaum Iban mengenali bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Aku juga perlu mempelajari bahasa Iban yang kedengaran seperti bahasa Jepun.

"Nama gagat deq?" Maksud, kamu tengah buat apa? Frasa Iban yang aku belajar daripada Frankie, murid tahun 2.

Give and take.

Aku mengajar, aku belajar. Kamu belajar, kamu mengajar.





10 Januari 2010

Sarawak Bumi Kenyalang


Sarawak Bumi Kenyalang? Tapi di mana burung kenyalang, tidak pernah nampak pun walau seekor. Ah.. Itu dulu. Sama seperti Terengganu yang terkenal dengan penyu. Itu dulu, sekarang nak tengok penyu bertelur susah nak jumpa.


Sekarang aku berada di negeri Sarawak. Negeri yang tidak pernah aku sampai. Berada disini sebagai seorang guru. Fisrt posting aku disini. Tempat yang tidak pernah aku angan-angankan. Disini rezeki aku berada. Disini tempat dimana aku mencari rezeki dan mendidik anak-anak suku kaum Iban.

SK Bakerkong Daro. Sekolah kurang murid yang hanya mempunyai 19 orang murid dan 11 orang guru. Pertama kali berada disini, aku berasa kurang selesa. Tempat baru, budaya baru, cara baru, orang baru, pengalaman baru semuanya baru.

Walaupun tempat aku dikategorikan sebagai P2, iaitu kawasan susah hidup, tapi aku mempunyai kemudahan yang agak selesa. Hanya bekalan air disini terhad. Hanya bergantung kepada air hujan. Sekarang adalah musim hujan. Boleh dikatakan bekalan masih ada, dan tidak putus. Musim kemarau yang mendatang aku risaukan. Bagaimana keadaannya. Menurut cikgu-cikgu disini, pada musim itu, bekalan air adalah terhad dan hanya digunakan untuk perkara-perkara penting sahaja. Mandi, masak, minum, wudhu'. Pakaian dibasuh dalam keadaan berjimat. Basuh motor bukan perkara penting.

Kawasan Bakerkong ini adalah kawasan suku kaum Iban. Majoriti adalah kristian. Hanya sebuah keluarga Islam dalam kalangan mereka. Ayah, ibu dan seorang anak mereka. 11 orang guru, sembilan guru yang beragama Islam, enam daripadanya berasal dari semenanjung termasuk aku. Solat jumaat darurat untuk didirikan. Masjid terdekat adalah lebih kurang 10 km dari tempat aku. Tetapi, kawasan tersebut mempunyai tidak lebih daripada 40 orang muslim, masih lagi dalam keadaan darurat untuk bersolat fardhu jumaat.

Jumaat pertama aku disini, aku pergi ke masjid tersebut. Untuk melihat suasana masjid. Hanya terdapat 16 orang ma'mum. Mereka masih lagi menunaikan rukun-rukun solat jumaat. Dimulai dengan 2 khutbah. Mereka akan menunaikan solat jumaat 2 rakaat. Kemudian, mereka akan menunaikan solat fardu zohor 4 rakaat. Solat serta khutbah jumaat sekadar menghormati seruan agama pada penghulu hari.

Inilah keringanan dalam beribadat. Walaupun perkara ibadat itu wajib dan fardhu, tapi ada waktu dan tempatnya ianya dipermudahkan. Allah Maha Mengetahui kekuataan dan kelemahan setiap hambaNya.