16 Mei 2010

Selamat Hari Guru

16 Mei adalah tarikh keramat bagi setiap jasad yang bergelar guru. Tahun ini adalah tahun pertama aku menerima ucapan keramat itu, sebelum ini aku hanya 'memberi', tahun ini aku pula yang 'menerima'.

Seawal jam 7 malam, 15 Mei, kotak pesanan ringkas telefon 'genggam' aku mula menerima ucapan hari guru daripada rakan-rakan dan keluarga. Akaun Facebook aku juga berlambak dengan ucapan-ucapan raikan hari guru di dinding. Pelbagai ayat dan kiasan yang dihantar, dan ada juga yang secara terus mengucapkan selamat tanpa berlapik dengan madah indah.

Antara yang berbekas di hati aku adalah mesej daripada ibuku, ucapan yang tiada kata-kata indah, hanya ucapan SELAMAT HARI GURU dengan doa kejayaan dalam kerjaya. Sudah cukup retorik dan mendalam.

Satu pesanan yang menyimpulkan segalanya tentang guru, pesanan yang dihantar oleh seorang teman. Pesanan yang mengatakan guru adalah yang teratas dalam hirerki kehidupan seseorang. Pesanan ini berbunyi:

You can be a doctor and save lives,
A lawyer and defend lives,
A soldier and protect lives,
Or simply be yourself,
A teacher who touches lives.


Ada juga pesanan yang agak mencuit hati tapi masih meninggalkan bekas yang mendalam. Ah.. sungguh sinis kata mu Abe Saleh.

Dulu, murid hormat dan takut guru. Kini, guru takut murid. Dulu, guru chalk and talk. Kini, guru kena slow talk. Dulu, guru boleh claim. Kini, guru tidak boleh complain. Dulu, Hari Guru dapat wang saku. Kini, Hari Guru dapat penyapu, kena gotong-royong.

Namun, tiada satu pun ucapan-ucapan ini aku balas, walaupun dengan lafaz terima kasih. Bukan bermakna tidak menghargai, cuma ada sedikit rasa gundah di sukma. Jiwa aku seperti diketuk untuk memikir apa sebenarnya erti hari guru? Adakah dengan sambutan satu hari suntuk dalam setiap tahun? Adakah hanya dengan mengadakan sukaneka, ucapan dan persembahan?

Aku masih belum menjumpai jawapan itu semua. Mungkin kerana aku baru dalam bidang ini. Belum mengenal erti sebenar sebagai guru. Hanya pucuk yang masih memerlukan sinar matahari yang secukupnya. Aku akan mencari jawapannya, akan ku menjalar mencari sinar mentari. Aku akan menjadikan Hari Guru pada setiap tahun menjadi lebih bermakna dan bererti.


Selamat Hari Guru
Guru Pembina Negara Bangsa



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalkan pendapat anda