19 Disember 2009

Bedar Sukma Bisu - Faisal Tehrani


Bedar Sukma Bisu sebuah karangan Faisal Tehrani yang telah memenangi Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas DBP. Apabila dilihat pada tajuk, Bedar Sukma Bisu, penulis telah menggunakan gaya sastera lama. Namun begitu, keseluruhan novel ini berkisar pada masa kini, hanya terdapat beberapa plot yang mengimbau kenangan watak pada masa lampau.

Penulis telah mengupas isu mengenai kewangan Islam, dunia gelora laut, alam perniagaan maritim serta perhubungan dalam sebuah keluarga uasahawan. Watak utama, wefada, adalah seorang pensyarah ekonomi yang terpaksa mengambil alih tugas sebagai pengarah syarikat yang ditinggalkan oleh abangnya yang terkorban dalam kemalangan udara. Penglibatan ahli keluarga yang lain telah menimbulkan konflik dalam usaha memacu nama Sukma Bisu menjadi jenama antarabangsa. Pergolakan antara ahli keluarga juga dapat ditangani dengan baik dan boleh dijadikan teladan kepada keluarga usahawan.

Kupasan mengenai ekonomi Islam juga telah dibogelkan oleh penulis dengan sedalam-dalamnya. Novel ini telah memberi satu pandangan serta pengalaman baru dalam kewangan menurut syariah. Selain itu, plot yang berkisar tentang perlayaran akan membangkitkan semangat untuk berlayar dan menceburi bidang perniagaan maritim yang masih belum diterokai dengan lebih mendalam.

Drama yang melibatkan cinta juga diselitkan oleh penulis. Percintaan antara Wefada, seorang ibu tunggal, dengan seorang pemuda yang juga rakan baik kepada anaknya. Pada pandangan saya, penulis cuba mengubah persepsi masyarakat tentang percintaan antara janda dengan duda yang sebaya dengan anaknya. Perhubungan sebegini tidak menjadi masalah jika ianya berlaku menurut agama serta kesediaan pasangan mengharungi gelombang rumah tangga.

Akhir kata, Bedar Sukma Bisu bukan hanya sebuah novel kosong. Ianya sarat dengan ilmu yang dikupas dengan baik oleh penulis, Faisal Tehrani. Tidak rugi melabur wang ringgit, mengisi masa lapang dengan membaca novel ini. Tahniah buat penulis yang bijak mengupas isu-isu semasa dalam bentuk penceritaan.

Lima bintang untuk Bedar Sukma Bisu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalkan pendapat anda