26 September 2010

Cikgu Romlee Mahran

Seronok sekali apabila dapat bertemu dengan beliau. Walaupun perkenalan kami yang bermula hampir 10 bulan yang lalu hanya melalui medium siber, baru sekarang kami berkesempatan untuk bertemu. Sebetulnya, kunjugan saya kali ini ke Kuching adalah ingin bertemu dengan beliau.

Pertemuan kami tidak berjalan dengan lancar. Kesibukan beliau dengan satu majlis di Stadium Negeri Sarawak menghalang kami untuk bertemu pada waktu yang lebih sesuai. Saya juga berpendapat kami memerlukan pertemuan yang lain memandangkan saya tidak ingin menganggu beliau yang sibuk dengan tugasan yang sangat penting.

Kalau Allah sudah mengizinkan, sesibuk mana pun kami tetap boleh bertemu. Malam itu, sesudah tugasan di stadium, beliau datang menjemput saya. Kebetulan beliau masih belum menjamah apa-apa makanan sejak daripada tengahari. Pucuk dicita, ulam yang datang. Perut saya juga masih belum diisi dengan nasi. Hanya menjamah sebiji burger pada siang harinya. Orang Melayu, tanpa nasi satu hari memang tak boleh tidur.

Sebuah kedai makan yang terletak di BDC (Borneo Development Coperation), kedai yang selalu dikunjungi beliau, kami bersembang bermacam cerita sementara menunggu tempahan kami sampai. Beliau yang bercerita, saya hanya menjadi pendengar yang setia. Memandangkan beliau lebih (terlalu sebenarnya) senior daripada saya, saya menjadi ralit mendengar kisah-kisah pengalaman beliau.

Daripada meja makan, kami terus bercerita sehingga di tepi Sungai Sarawak sambil mengadap ke bangunan DUN Sarawak. Terlalu banyak pengalaman yang boleh dijadikan ikhtibar, terlalu banyak cerita yang boleh dijadikan khabar dan terlalu banyak nasihat yang boleh dijadikan ikhtiar. Kami melepak di sana sehingga hampir jam 2 malam. Kasihan saya melihatnya yang belum lagi hilang kepenatan kerana tugasan.

Apa yang membuatkan saya kagum terhadap beliau adalah sikap beliau yang melayan saya seolah-olah perbezaan umur kami hanya setahun dua. Sedangkan, perbezaan umur antara kami hampir 33 tahun. Beliau berusia 57 tahun (1 tahun lagi pencen) dan saya berusia 24 tahun (tahun 1 mengajar). Saya menyanjung keperibadian beliau.

Beliau adalah CIKGU ROMLEE MAHRAN, salah seorang daripada Jemaah Nazir di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. Beliau adalah salah seorang rakan FB saya. Kami sentiasa berbual melalui ruangan chat dan inilah kali pertama kami bertemu secara bersua muka. Saya berharap agar kita boleh ketemu lagi.



Ibnrahim: Lain kali saya ke Kuching, saya diam rumah cikgu la. Tak payah diam kat hotel lagi.

09 Ogos 2010

Salam Ramadhan...

Assalamualaikum

Entri pada kali ini hanyalah satu puisi bagi membangkitkan rasa kehambaan pada-NYA sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Insyaallah kita akan menyambut Ramadhan tidak lama lagi. Semoga tahun ini menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.

Aku Ingin Menangis

Aku sering alpa,
Sering alpa dengan nikmat Mu,
Sering alpa dengan rezeki Mu,

Aku tidak takut,
Tidak takut dengan kematian,
Tidak takut dengan pembalasan,

Aku berasa nikmat,
Berasa nikmat dengan kemaksiatan,
Yang menjadi barah dalam jasad ku,

Aku terasa terhina,
Aku terasa dizina,
Aku merasa merana,
Dan aku sememangnya ternoda,
Ternoda dengan bisikan sang Qarrin,

Aku ingin menangis,
Menangis kerana Mu Allah,
Menangisi sebuah penyesalan,
Menangis setulus jiwa yang fitrah,
Tapi,

Bagaimana aku dapat mengeluarkan air mata,
Bagaimana dapat aku menjiwai satu kesalan,
Bagaimana aku dapat menangis,

Aku ingin menangis kerna Mu Ya Allah.


Wa baraqna fi hazihil shahru
Jazakallahu khairan kathira...

26 Jun 2010

Propaganda Media

Sebentar tadi saya baru menonton iklan yang mempromosikan siaran Piala Dunia 2010 di TV1 dan TV2 (RTM). Iklan tersebut berkisar tentang dua beranak (mungkin ayah dan anak) membeli peti televisyen yang baru semata-mata untuk menonton siaran piala dunia. Mereka terpaksa mendayung sampan yang agak 'ngeri' untuk pulang ke rumah mereka. Apabila saya menonton iklan tersebut, saya tersenyum sendirian teringatkan perasaan saya sebelum tiba di Sarawak ini. Begitulah yang saya bayangkan, perlu mendayung sampan yang se'ngeri' itu.

Namun, sangkaan itu meleset sama sekali kerana pengangkutan air di sini adalah pengangkutan utama. Sampan sebegitu hanyalah untuk kegunaan peribadi dan hanya digunakan untuk perjalanan yang berhampiran dengan kawasan kampung sahaja. Kebanyakkan kampung-kampung di sini adalah di pinggir sungai.

Pengangkutan air di sini menggunakan feri-feri panjang yang dipanggil 'ekspres' untuk pergi ke mana-mana destinasi. Namun, ada sesetengah yang menggunakan speed boat yang boleh memuatkan 20 orang dalam satu masa. 'Ekspres' di sini sangat selesa dan ada juga 'ekspres' yang menyediakan minuman kepada penumpang.

Di sini saya 'upload'kan beberapa keping gambar keadaan sebenar pengangkutan air di Sarawak.



Feri panjang yang dipanggil ekspres


Ekspres dari sisi


Pemandangan di dalam ekspres


Sesetengah tempat perlu menaiki speed boat


Feri untuk menyeberangi sungai


Pemandangan di atas feri

16 Mei 2010

Selamat Hari Guru

Dengan hati yang ikhlas dan dipayungi rahmah Allah serta disinari dengan kebanjiran rezeki daripada-Nya, saya mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada;

Guru-guru SK Kuala Dungun
Guru-guru SM Agama Sultan Ismail Dungun
Pensyarah-pensyarah IP Kota Bharu
Pensyarah-pensyarah IP Sultan Mizan Besut
Rakan-rakan PISMK-OUM BM
Rakan-rakan IPKB & IPGM KSM
Rakan-rakan SK Bakerkong
Rakan-rakan PPD Daro, JPN Sarawak

Che Da (Guru Mengaji)
En. Ishak B Ibrahim
En. Shamsuddin Ngat Denin
En. Mohd Nor
Pn. Normaizam
Cikgu Ateh Salim
Abang Munif

Wan Fatimah Zaharah Wan Muda
Wan Maimun Wan Muda
Wan Mariana Wan Muda
Mustafa Muterjemiah
Johari Samad

Muhamad Faris Makhtarudin
Ahmad Syakir Makhtarudin
Mohd Fairiz Rosli
Hanisah Ahmad Jaafar

Dan sekian nama yang terlalu lemah untuk aku catatkan...


Daripada GURU, aku menjadi GURU.

Selamat Hari Guru

16 Mei adalah tarikh keramat bagi setiap jasad yang bergelar guru. Tahun ini adalah tahun pertama aku menerima ucapan keramat itu, sebelum ini aku hanya 'memberi', tahun ini aku pula yang 'menerima'.

Seawal jam 7 malam, 15 Mei, kotak pesanan ringkas telefon 'genggam' aku mula menerima ucapan hari guru daripada rakan-rakan dan keluarga. Akaun Facebook aku juga berlambak dengan ucapan-ucapan raikan hari guru di dinding. Pelbagai ayat dan kiasan yang dihantar, dan ada juga yang secara terus mengucapkan selamat tanpa berlapik dengan madah indah.

Antara yang berbekas di hati aku adalah mesej daripada ibuku, ucapan yang tiada kata-kata indah, hanya ucapan SELAMAT HARI GURU dengan doa kejayaan dalam kerjaya. Sudah cukup retorik dan mendalam.

Satu pesanan yang menyimpulkan segalanya tentang guru, pesanan yang dihantar oleh seorang teman. Pesanan yang mengatakan guru adalah yang teratas dalam hirerki kehidupan seseorang. Pesanan ini berbunyi:

You can be a doctor and save lives,
A lawyer and defend lives,
A soldier and protect lives,
Or simply be yourself,
A teacher who touches lives.


Ada juga pesanan yang agak mencuit hati tapi masih meninggalkan bekas yang mendalam. Ah.. sungguh sinis kata mu Abe Saleh.

Dulu, murid hormat dan takut guru. Kini, guru takut murid. Dulu, guru chalk and talk. Kini, guru kena slow talk. Dulu, guru boleh claim. Kini, guru tidak boleh complain. Dulu, Hari Guru dapat wang saku. Kini, Hari Guru dapat penyapu, kena gotong-royong.

Namun, tiada satu pun ucapan-ucapan ini aku balas, walaupun dengan lafaz terima kasih. Bukan bermakna tidak menghargai, cuma ada sedikit rasa gundah di sukma. Jiwa aku seperti diketuk untuk memikir apa sebenarnya erti hari guru? Adakah dengan sambutan satu hari suntuk dalam setiap tahun? Adakah hanya dengan mengadakan sukaneka, ucapan dan persembahan?

Aku masih belum menjumpai jawapan itu semua. Mungkin kerana aku baru dalam bidang ini. Belum mengenal erti sebenar sebagai guru. Hanya pucuk yang masih memerlukan sinar matahari yang secukupnya. Aku akan mencari jawapannya, akan ku menjalar mencari sinar mentari. Aku akan menjadikan Hari Guru pada setiap tahun menjadi lebih bermakna dan bererti.


Selamat Hari Guru
Guru Pembina Negara Bangsa