22 Januari 2010

9nyawa - Ramlee Awang Murshid



9nyawa, buah tangan terbaru daripada Ramlee Awang Murshid (RAM), novelis thriller no 1 Malaysia. Novel ini adalah karangan beliau yang ke-16 selepas Mikhail. RAM masih lagi menulis dengan genre 'killer'nya, thriller yang berjalan di atas jalur keagamaan dan percintaan.

9nyawa mengisahkan kehidupan Intan Suryani, pewaris kepada Syarikat D'Diamond yang juga anak tunggal kepada Azizah. Kehidupan Intan yang sering dikongkong oleh ibunya akibat daripada ketaksuban ibunya terhadap mitos 9 nyawa yang dimiliki oleh Intan. Sikap seorang ibu yang terlalu menyayangi anak menyebabkan Azizah sentiasa berada dalam keadaan rungsing memikirkan bilangan nyawa Intan yang semakin mengurang. Intan yang mempunyai masalah fungsi jantung yang lemah sentiasa bergantung kepada ubat, pengambilan yang tidak mengikut jadual akan mengakibatkan Intan tidak sedarkan diri serta akan mengurangkan nyawa yang dimiliki.

Setiap kali berada dalam keadaan koma, roh Intan seolah-olah tercampak ke dalam satu alam, iaitu antara alam hidup dengan alam mati. Pengembaraan Intan dalam alam tersebut telah menemukannya dengan Hakim, seorang buta yang mempunyai keistimewaan mendengar suara-suara manusia yang berada dalam keadaan sakaratulmaut. Dalam pengembaraan itu juga Intan telah diperlihatkan akan kebenaran disebalik setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupannya.

RAM juga banyak mengupas isu-isu semasa secara tidak langsung dalam novel ini. Kebanjiran pendatang tanpa izin yang mencari rezeki dan ada juga sebahagiannya yang melakukan jenayah terancang di Malaysia dan Singapura. Aktiviti penjualan barang seludup juga berlaku secara terang-terangan tanpa disedari oleh pihak berkuasa. Saudara RAM seperti ingin menggambarkan hakikat sebenar yang sedang berlaku dalam masyarakat sekarang. Selain itu, turut diselitkan kehebatan dalam melakukan ibadah dengan mendapatkan ketenangan yang maksimum seperti yang ditunjukkan oleh Azizah yang bertaubat, Dr. David@Daud yang menemui cahaya hidayah melalui Ahmad, rakan sekampus.



Secara keseluruhannya, saya memberi kredit kepada Ramlee Awang Murshid dengan karya terkini beliau, 9nyawa. RAM masih lagi tidak menghampakan peminat-peminat dengan menghasilkan karya-karya yang baik dengan konsisten. Novel-novel beliau sebelum ini pun masih lagi segar dan tidak dijemu untuk diulang baca. Tahniah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalkan pendapat anda