02 April 2010

Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR 20 Mac - Kabinet telah membuat keputusan untuk menambah masa pembelajaran subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah berkuat kuasa pada sesi persekolahan 2011. (Petikan daripada Utusan Malaysia Online)

Pihak kementerian telah mengarahkan masa pengajaran dan pembelajaran (PnP) bagi subjek Bahasa Melayu untuk tahap 1 ditambah dari 270 minit kepada 330 minit seminggu, manakala bagi tahap 2 dari 180 minit kepada 270 minit seminggu. Penambahan masa PnP bagi subjek Bahasa Melayu hanya melibatkan sekolah jenis kebangsaan (SJK) sama ada SJK Cina dan SJK Tamil. Kedua - dua buah sekolah jenis ini mempunyai majoriti murid dan guru bukan Melayu. Perkara ini selaras dengan dasar kerajaan dalam Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Namun begitu, adakah pihak kementerian terlepas pandang kepada sekolah kebangsaan (SK) yang mempunyai murid dari keturunan orang asli dan etnik-etnik di Sabah dan Sarawak? Situasi mereka masih sama dengan murid-murid yang berada di SJK. Mereka juga bukan berbangsa dan berbahasa Melayu. Kesukaran guru bahasa mengajar murid-murid orang asli dan suku kaum Sabah dan Sarawak adalah sama, dan mungkin lebih mencabar berbanding dengan guru SJK kerana mereka tinggal di kawasan pendalaman dan taraf hidup mereka lebih rendah serta tahap pemikiran mereka masih berada dalam satu 'kotak yang tertutup'.

Oleh itu, pihak kementerian sepatutnya lebih peka dan 'cakna' dengan perkara sebegini, tingkatkan masa PnP bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di SK bukan Melayu. Kami di pendalaman sentiasa terkebelakang dalam banyak perkara. Memartabatkan Bahasa Melayu adalah sebahagian daripada tugas guru Bahasa Melayu, dan murid sekolah rendah adalah agen dalam perkembangan Bahasa Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tinggalkan pendapat anda