26 September 2010
Cikgu Romlee Mahran
Pertemuan kami tidak berjalan dengan lancar. Kesibukan beliau dengan satu majlis di Stadium Negeri Sarawak menghalang kami untuk bertemu pada waktu yang lebih sesuai. Saya juga berpendapat kami memerlukan pertemuan yang lain memandangkan saya tidak ingin menganggu beliau yang sibuk dengan tugasan yang sangat penting.
Kalau Allah sudah mengizinkan, sesibuk mana pun kami tetap boleh bertemu. Malam itu, sesudah tugasan di stadium, beliau datang menjemput saya. Kebetulan beliau masih belum menjamah apa-apa makanan sejak daripada tengahari. Pucuk dicita, ulam yang datang. Perut saya juga masih belum diisi dengan nasi. Hanya menjamah sebiji burger pada siang harinya. Orang Melayu, tanpa nasi satu hari memang tak boleh tidur.
Sebuah kedai makan yang terletak di BDC (Borneo Development Coperation), kedai yang selalu dikunjungi beliau, kami bersembang bermacam cerita sementara menunggu tempahan kami sampai. Beliau yang bercerita, saya hanya menjadi pendengar yang setia. Memandangkan beliau lebih (terlalu sebenarnya) senior daripada saya, saya menjadi ralit mendengar kisah-kisah pengalaman beliau.
Daripada meja makan, kami terus bercerita sehingga di tepi Sungai Sarawak sambil mengadap ke bangunan DUN Sarawak. Terlalu banyak pengalaman yang boleh dijadikan ikhtibar, terlalu banyak cerita yang boleh dijadikan khabar dan terlalu banyak nasihat yang boleh dijadikan ikhtiar. Kami melepak di sana sehingga hampir jam 2 malam. Kasihan saya melihatnya yang belum lagi hilang kepenatan kerana tugasan.
Apa yang membuatkan saya kagum terhadap beliau adalah sikap beliau yang melayan saya seolah-olah perbezaan umur kami hanya setahun dua. Sedangkan, perbezaan umur antara kami hampir 33 tahun. Beliau berusia 57 tahun (1 tahun lagi pencen) dan saya berusia 24 tahun (tahun 1 mengajar). Saya menyanjung keperibadian beliau.
Beliau adalah CIKGU ROMLEE MAHRAN, salah seorang daripada Jemaah Nazir di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. Beliau adalah salah seorang rakan FB saya. Kami sentiasa berbual melalui ruangan chat dan inilah kali pertama kami bertemu secara bersua muka. Saya berharap agar kita boleh ketemu lagi.
Ibnrahim: Lain kali saya ke Kuching, saya diam rumah cikgu la. Tak payah diam kat hotel lagi.
09 Ogos 2010
Salam Ramadhan...
Entri pada kali ini hanyalah satu puisi bagi membangkitkan rasa kehambaan pada-NYA sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Insyaallah kita akan menyambut Ramadhan tidak lama lagi. Semoga tahun ini menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.
Aku Ingin Menangis
Aku sering alpa,
Sering alpa dengan nikmat Mu,
Sering alpa dengan rezeki Mu,
Aku tidak takut,
Tidak takut dengan kematian,
Tidak takut dengan pembalasan,
Aku berasa nikmat,
Berasa nikmat dengan kemaksiatan,
Yang menjadi barah dalam jasad ku,
Aku terasa terhina,
Aku terasa dizina,
Aku merasa merana,
Dan aku sememangnya ternoda,
Ternoda dengan bisikan sang Qarrin,
Aku ingin menangis,
Menangis kerana Mu Allah,
Menangisi sebuah penyesalan,
Menangis setulus jiwa yang fitrah,
Tapi,
Bagaimana aku dapat mengeluarkan air mata,
Bagaimana dapat aku menjiwai satu kesalan,
Bagaimana aku dapat menangis,
Aku ingin menangis kerna Mu Ya Allah.
Wa baraqna fi hazihil shahru
Jazakallahu khairan kathira...
26 Jun 2010
Propaganda Media
Namun, sangkaan itu meleset sama sekali kerana pengangkutan air di sini adalah pengangkutan utama. Sampan sebegitu hanyalah untuk kegunaan peribadi dan hanya digunakan untuk perjalanan yang berhampiran dengan kawasan kampung sahaja. Kebanyakkan kampung-kampung di sini adalah di pinggir sungai.
Pengangkutan air di sini menggunakan feri-feri panjang yang dipanggil 'ekspres' untuk pergi ke mana-mana destinasi. Namun, ada sesetengah yang menggunakan speed boat yang boleh memuatkan 20 orang dalam satu masa. 'Ekspres' di sini sangat selesa dan ada juga 'ekspres' yang menyediakan minuman kepada penumpang.
Di sini saya 'upload'kan beberapa keping gambar keadaan sebenar pengangkutan air di Sarawak.
16 Mei 2010
Selamat Hari Guru
Guru-guru SM Agama Sultan Ismail Dungun
Pensyarah-pensyarah IP Kota Bharu
Pensyarah-pensyarah IP Sultan Mizan Besut
Rakan-rakan PISMK-OUM BM
Rakan-rakan IPKB & IPGM KSM
Rakan-rakan SK Bakerkong
Rakan-rakan PPD Daro, JPN Sarawak
Che Da (Guru Mengaji)
En. Ishak B Ibrahim
En. Shamsuddin Ngat Denin
En. Mohd Nor
Pn. Normaizam
Cikgu Ateh Salim
Abang Munif
Wan Fatimah Zaharah Wan Muda
Wan Maimun Wan Muda
Wan Mariana Wan Muda
Mustafa Muterjemiah
Johari Samad
Muhamad Faris Makhtarudin
Ahmad Syakir Makhtarudin
Mohd Fairiz Rosli
Hanisah Ahmad Jaafar
Dan sekian nama yang terlalu lemah untuk aku catatkan...
Daripada GURU, aku menjadi GURU.
Selamat Hari Guru
Seawal jam 7 malam, 15 Mei, kotak pesanan ringkas telefon 'genggam' aku mula menerima ucapan hari guru daripada rakan-rakan dan keluarga. Akaun Facebook aku juga berlambak dengan ucapan-ucapan raikan hari guru di dinding. Pelbagai ayat dan kiasan yang dihantar, dan ada juga yang secara terus mengucapkan selamat tanpa berlapik dengan madah indah.
Antara yang berbekas di hati aku adalah mesej daripada ibuku, ucapan yang tiada kata-kata indah, hanya ucapan SELAMAT HARI GURU dengan doa kejayaan dalam kerjaya. Sudah cukup retorik dan mendalam.
Satu pesanan yang menyimpulkan segalanya tentang guru, pesanan yang dihantar oleh seorang teman. Pesanan yang mengatakan guru adalah yang teratas dalam hirerki kehidupan seseorang. Pesanan ini berbunyi:
A lawyer and defend lives,
A soldier and protect lives,
Or simply be yourself,
A teacher who touches lives.
Dulu, murid hormat dan takut guru. Kini, guru takut murid. Dulu, guru chalk and talk. Kini, guru kena slow talk. Dulu, guru boleh claim. Kini, guru tidak boleh complain. Dulu, Hari Guru dapat wang saku. Kini, Hari Guru dapat penyapu, kena gotong-royong.
Namun, tiada satu pun ucapan-ucapan ini aku balas, walaupun dengan lafaz terima kasih. Bukan bermakna tidak menghargai, cuma ada sedikit rasa gundah di sukma. Jiwa aku seperti diketuk untuk memikir apa sebenarnya erti hari guru? Adakah dengan sambutan satu hari suntuk dalam setiap tahun? Adakah hanya dengan mengadakan sukaneka, ucapan dan persembahan?
Aku masih belum menjumpai jawapan itu semua. Mungkin kerana aku baru dalam bidang ini. Belum mengenal erti sebenar sebagai guru. Hanya pucuk yang masih memerlukan sinar matahari yang secukupnya. Aku akan mencari jawapannya, akan ku menjalar mencari sinar mentari. Aku akan menjadikan Hari Guru pada setiap tahun menjadi lebih bermakna dan bererti.
Guru Pembina Negara Bangsa
30 April 2010
Kurang Mengerti
Saya merasakan beliau tidak begitu faham mengenai tugas utama seorang guru dan kenapa kebanyakkan guru mengeluh mengenai beban kerja mereka.
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan [klik sini], pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelektual, rohani, emosi dan jasmani. Sehubungan itu, tugas utama guru adalah mendidik dan mengajar anak bangsa secara komited bagi memenuhi keempat-empat aspek tersebut.
Rungutan dan keluhan guru adalah berkaitan dengan kerja-kerja luar bidang yang sepatutnya dilakukan oleh pihak pentadbiran yang menganggu tugas utama guru iaitu, menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Permasalahan ini langsung tidak berkaitan dengan keikhlasan dan kesungguhan guru dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Katakan seorang jurutera geoteknikal yang dibayar oleh Petronas untuk melaksanakan sebarang proses kejuruteraan struktur di pelantar minyak sejauh Miri atau Kerteh selama sebulan di tengah lautan dalam dan langsung tidak bertemu dengan keluarga selama tempoh itu, beliau yakin sepenuhnya bahawa jurutera itu tidak akan membantah atau mengeluh.
Bagaimana sekiranya jurutera tersebut diarahkan melakukan kerja-kerja tambahan seperti mencuci pelantar itu atau menggantikan tukang masak yang sedang bercuti? Ini sebenarnya gambaran tentang keluhan dan rungutan guru pada masa sekarang. Keluhan mereka bukan berkisar tentang tanggungjawab yang diamanahkan.
Hanya orang yang ahli dalam bidang tertentu akan dapat menyelami permasalahan dalam bidang tersebut. Pemandu kereta sewa tidak akan dapat memandu kapal terbang, walaupun kedua-duanya adalah 'drebar'.
13 April 2010
Terdetik Seketika...
Unggas berlagu memanggil kekasih,
Megah lagu melodi yang ku karang,
Indah hidup kerana kekasih.
Ranum lazat buah kurma,
Wangi bau pekat kopi,
Dinihari menanti untuk menjelma,
Izinkan aku beradu sepi.
Dekat padamu hajatnya hati,
Gusar melanda teringat mati,
Esok hari mentari menanti,
Moga ketemu dia di dalam hati.
Guru Pedalaman vs Guru Bandar
Saya adalah seorang guru baru yang mengajar di kawasan pedalaman (P2) Sarawak, yang mungkin masih lagi belum arif mengenai dunia perguruan ini sekiranya dibandingkan dengan guru-guru 'otai' yang sering memberi pendapat melalui media massa. Namun, tidak salah rasanya jika saya ingin memberi pendapat, cetusan idea, perasaan serta bisikan naluri yang sentiasa ditusuk dengan tekanan kehidupan.
Utusan Malaysia yang bertarikh 12 April 2010, dalam ruangan MySekolah telah membicarakan tentang cabaran guru yang mengajar di bandar. Setelah membaca artikel tersebut, saya berpendapat guru-guru tersebut masih lagi bertuah kerana mempunyai kehidupan yang agak selesa berbanding dengan kami di pedalaman. Maaf jika kenyataan saya ini menyinggung perasaan guru-guru. Jangan dikatakan saya ini tidak menghormati orang yang lebih senior, yang lebih dahulu merasa garam di dunia daripada saya.
Menurut artikel tersebut, terdapat guru yang mengajar di bandar terpaksa bangun seawal 5.30 pagi serta ada juga yang bersolat subuh setiap hari di surau sekolah. Pergi awal subuh pulang maghrib sudah menjadi rutin guru-guru tersebut. Cabaran ini memang tidak akan ditempuhi oleh guru-guru pedalaman kerana kebanyakkan guru di pedalaman tinggal di kaunters yang berhampiran dengan sekolah. Tetapi bagi saya, perkara ini memang sudah menjadi kelaziman kepada penduduk di bandar-bandar. Perkara ini bukan sahaja berlaku kepada guru saya kira, ia dihadapi oleh semua penduduk walaupun hanya seorang salesman. Mohon ampun jika saya terkasar bahasa.
Sementara itu, seorang guru berkata bahawa kesedaran ibu bapa di bandar terhadap pendidikan menjadi satu beban kepada guru untuk memberi yang terbaik kepada anak mereka. Berdepan dengan ibu bapa yang ‘intelektual’ menuntut kesabaran yang tinggi kerana jika tersalah jawab boleh timbul pertelingkahan atau diheret ke pengadilan. Saya cuba membayangkan situasi ini. Pada pendapat saya, situasi ini mungkin berlaku apabila ibu bapa murid itu terlalu ‘bijak dan intelektual’ serta anak mereka seorang yang ‘lebih pandai’ daripada guru. Ini memang satu cabaran berat, yang menguji kesabaran serta keimanan para guru.
‘Siapa guru? Akukah kamu?’. Dialog sebegini mungkin boleh membawa wang(saman) kepada ibu bapa.
Saya merasakan cabaran sebegini juga berlaku kepada guru-guru pedalaman kerana guru pedalaman juga mengalami masalah yang sama dalam aspek prestasi murid-murid. Murid-murid di pedalaman tidak sama dengan murid yang berada di bandar dari segi pemikiran, motivasi serta ke’benda’an. Ini lebih mencabar saya rasakan kerana guru-guru perlu memahami keadaan mereka terlebih dahulu. Guru perlu menjadi ‘mereka’, barulah guru dapat membantu mereka dalam pembelajaran. Guru perlu mengkaji mereka terlebih dahulu sebelum dapat mengajar mereka. Sehubungan itu, dapat saya katakan guru bandar dan guru pedalaman mempunyai cabaran yang berbeza tetapi masih menuntut komitmen yang tinggi sebagai pendidik.
Cuma, saya ingin mengingatkan rakan-rakan guru sekalian bahawa kehidupan guru di pedalaman lebih perit jika difikirkan. Kekurangan keperluan asas memang satu cabaran sangat besar kepada kami. Saya katakan ‘keperluan’, bukan ‘kemudahan’. Bayangkan di kawasan tertentu tiada hospital atau klinik, balai bomba, balai polis, pejabat pos. Bagaimana jika berlaku kes-kes kecemasan? Perkara yang tidak diingini ini pernah berlaku kepada seorang guru. Guru tersebut menerima surat panggilan temuduga pengesahan jawatan hanya beberapa sebelum tarikh temuduga, bagaimana dengan persediaan temuduga tersebut? Walaupun perkara sebegini berlaku, kami masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru, mengajar serta mendidik anak murid kami. Hanya kes-kes terpencil yang berlaku seperti melarikan diri ketika bertugas, saya akui hal itu pernah berlaku kerana guru tersebut tidak tahan serta lasak dengan cabaran.
Kesimpulannya, saya merasakan tidak perlu diperdebatkan isu-isu yang berkaitan dengan cabaran siapa yang lebih hebat. Apa yang penting, kita sebagai guru perlu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin. Walaupun di pedalaman, tidak selamanya akan berada di sana. Secara peribadi, saya merasakan seperti ada sesuatu yang cuba mencabar kewibawaan kita sebagai seorang guru.
Seribu kemaafan saya pinta jika artikel ini sedikit sebanyak mengguris perasaan anda serta dapat menimbulkan kemarahan para guru sekalian. Tiada niat ingin berbalah, tidak ada sekelumit untuk meminta simpati, hanya sekadar luahan pendapat seorang guru di pedalaman tentang realiti guru di pedalaman.
Jazakallahu khairan kathira
Wassalam
02 April 2010
Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris
Pihak kementerian telah mengarahkan masa pengajaran dan pembelajaran (PnP) bagi subjek Bahasa Melayu untuk tahap 1 ditambah dari 270 minit kepada 330 minit seminggu, manakala bagi tahap 2 dari 180 minit kepada 270 minit seminggu. Penambahan masa PnP bagi subjek Bahasa Melayu hanya melibatkan sekolah jenis kebangsaan (SJK) sama ada SJK Cina dan SJK Tamil. Kedua - dua
Oleh itu, pihak kementerian sepatutnya lebih peka dan 'cakna' dengan perkara sebegini, tingkatkan masa PnP bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di SK bukan Melayu. Kami di pendalaman sentiasa terkebelakang dalam banyak perkara. Memartabatkan Bahasa Melayu adalah sebahagian daripada tugas guru Bahasa Melayu, dan murid sekolah rendah adalah agen dalam perkembangan Bahasa Melayu.
26 Mac 2010
Salah Siapa?
“Budak-budak aku lemah la, payah nak di ajar.” Luah cikgu A.
“Dah berapa kali aku terangkan tentang formula tu, masih tak faham-faham, bengap!” Tengking cikgu B kepada anak muridnya.
Di mana peranan seorang guru? Melabel anak murid lemah atau membantu murid yang lemah? Tepuk dada tanya selera. Secara logiknya, anda sebagai seorang guru juga bermula daripada seorang murid yang lemah. Secara sinisnya, tiada seseorang pun lahir terus menjadi guru. Segalanya bermula daripada ‘kosong’. Bermula daripada tidak tahu menjadi tahu.
Apa yang membezakan disini adalah tahap penerimaan seorang murid. Ada murid yang diajar sekali, sudah faham dua kali. Ada yang diajar sekali, faham pun sekali. Dan ada yang diajar tiga kali, baru faham sekali. Di sini letaknya peranan teknik, kaedah dan pendekatan pengajaran.
Saya yakin, sebahagian besar guru pada masa kini pernah mengikuti kursus perguruan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa dan telah didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai pengajaran dan pembelajaran. Kursus-kursus sebegini banyak memberi input tentang pedagogi, ilmu pendidikan. Teori dewan kuliah hanya menjadi basi kalau tidak diaplikasi dalam bilik darjah. Peranan guru bukan sekadar mengajar tetapi mengkaji murid, dengan kata lain mengkaji bagaimana untuk meningkatkan kemahiran murid yang mempunyai tahap kemahiran yang berbeza.
Catatan ini hanya sekadar ingatan kepada diri penulis sendiri.
11 Mac 2010
Permainan Bahasa Kemahiran Menulis
Menurut Sassoon (1993) yang dipetik Norain Md. Nor, Norizan Esa dan Sarimah Saad (2005:11) menyatakan, guru-guru kurang memberi perhatian yang sewajarnya dalam proses pengajaran kemahiran menulis. Kaedah pengajaran yang tidak sesuai boleh membantutkan keupayaan pelajar untuk menulis dan seterusnya guru tidak menyedari akan tabiat buruk pelajar semasa menulis. Masalah ini perlu diatasi pada peringkat sekolah rendah lagi semasa proses mengeja. Kemungkinan yang berlaku, guru tidak menggunakan teknik atau kaedah pengajaran yang sesuai bagi proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis. Edward M. Anthony (1963) yang dipetik daripada Kamarudin Hj. Husin(1988:77) memberi tafsiran; “A technique is implementational – that which actually takes place in a classroom. It is a particular trick, stratagem or contrivance used to accomplish an immediate objective.”
Teknik permainan bahasa bukanlah merupakan aktiviti tambahan untuk bergembira semata-mata, tetapi ia boleh digolongkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang berhasrat memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran bahasa yang telah dipelajari di dalam bilik darjah, penulis telah memilih teknik permainan bahasa untuk mengukur keupayaan murid menguasai kemahiran menulis.
Permainan bahasa merupakan satu aktiviti yang dirancangkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Aktiviti ini ada hubung kaitnya dengan kandungan pelajaran sama ada secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu, permainan bahasa boleh dijelaskan sebagai cara mempelajari bahasa melalui bermain atau murid belajar sambil bermain (Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Bt. Abdul Aziz, 1995:3).
PERNYATAAN MASALAH
Tinjauan awal yang telah dibuat oleh penulis mendapati teknik pengajaran guru bahasa Melayu sekarang lebih berfokuskan kepada peperiksaan. Menurut Seman Saleh (2005), guru-guru banyak menggunakan format peperiksaan semasa menjalankan aktiviti pengajaran ataupun semasa menyediakan latihan kepada murid. Proses pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan kepada peperiksaan akan memberi implikasi kepada murid-murid yang lemah. Mereka tidak dapat mengikuti proses pembelajaran seperti mana murid-murid yang mempunyai tahap keupayaan yang tinggi.
TUJUAN KAJIAN
Kajian ini dijalankan adalah untuk; i. mengenalpasti peranan teknik pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. ii. mengenalpasti kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam permainan bahasa. iii. mengenalpasti adakah teknik permainan bahasa dapat meningkatkan kemahiran murid-murid.
RASIONAL KAJIAN
Kajian ini perlu dijalankan kerana kebanyakkan guru kurang memberi penekanan terhadap teknik pengajaran. Menurut Naina Mohd. Bt. Md. Noor (2000), guru akan menampilkan stail pengajarannya yang mungkin berbalik kepada penggunaan kaedah pengajaran terus secara kelas daripada strategi pengajaran berpusatkan murid apabila guru mendapati saiz bilik darjah yang kurang kondusif, sesak dan sempit. Menurut Abdullah Hassan (1989:67) menyatakan , kaedah pengajaran terus dimulakan dengan lisan, dengan tunjuk cara dan gambar-gambar atau objek-objek yang konkrit, dan murid akan menghafalnya dan cuba mengikutinya. Penggunaan kaedah ini boleh menyebabkan murid sederhana dan lemah tidak dapat mengikuti proses pembelajaran dengan sempurna. Sehubungan itu, penulis mencadangkan teknik permainan bahasa yang lebih berpusatkan kepada murid.
BATASAN KAJIAN
Kajian ini dijalankan di 10 buah sekolah di sekitar daerah Besut, Terengganu sahaja yang dipilih secara rawak. Dalam kajian ini, penulis akan memilih seramai tiga orang guru yang mengajar bahasa Melayu sebagai responden kajian. Responden adalah guru yang mendapat latihan pengkhususan dalam bidang bahasa Melayu ataupun selain daripada bidang bahasa Melayu. Selain itu, kajian ini juga hanya berfokus kepada penggunaan teknik permainan bahasa dalam kemahiran menulis. Penulis ingin melihat sejauh mana guru-guru mengetahui dan mengaplikasikan teknik permainan bahasa dalam pengajaran kemahiran bahasa tersebut.
HASIL KAJIAN Selain itu, kajian ini juga membincangkan kekuatan dan kelemahan teknik permainan bahasa. Dapatan kajian mendapati sebanyak 49% responden bersetuju (14.7 responden) dan 29.2% sangat bersetuju (8.76 responden) dengan kekuatan yang terdapat dalam teknik permainan bahasa. Responden bersetuju bahawa teknik permainan bahasa boleh meningkatkan minat murid untuk belajar kemahiran bahasa sekali gus dapat memperbaiki kemahiran-kemahiran bahasa yang ada pada murid. Penggunaan teknik permainan bahasa semasa aktiviti pengajaran juga boleh memberi keseronokan kepada murid untuk terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Responden yang terdiri daripada guru yang mengajar bahasa Melayu juga menyatakan mereka pernah mengaplikasikan beberapa jenis permainan bahasa dalam pengajaran mereka seperti permainan silang kata bergambar, ‘Roda Impian’ kosa kata dan mencari benda yang tersembunyi. Ini menunjukkan guru-guru mengetahui tentang jenis-jenis permainan bahasa yang sesuai digunakan bagi murid yang terdiri daripada pelbagai tahap keupayaan.
Guru secara khususnya merujuk kepada guru bahasa Melayu perlu mempelbagaikan teknik dan aktiviti pengajaran semasa berada di dalam bilik darjah. Guru perlu merancang serta memilih permainan yang sesuai dengan tahap keupayaan murid. Selain itu, guru juga perlu menitikberatkan aspek-aspek lain seperti penggunaan ruang kelas, waktu, kos yang diperlukan serta keselamatan murid semasa aktiviti dijalankan. Guru juga perlu memastikan penglibatan semua murid secara aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Namun begitu, guru perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran asas tentang permainan bahasa melalui maklumat-maklumat yang terdapat di laman sesawan atau melalui pembacaan buku-buku yang berkaitan.
KESIMPULAN
Kajian ini mendapati guru-guru yang mengajar bahasa Melayu mengaplikasi pelbagai teknik pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran semasa aktiviti di dalam bilik darjah. Ini kerana, kepelbagaian dalam pengajaran memberi peluang kepada murid untuk memahami pengajaran dengan lebih mudah dan cepat. Sehubungan itu, penulis mencadangkan teknik permainan bahasa untuk digunakan dan hasil dapatan menunjukkan responden bersetuju dengan teknik ini dalam peningkatan prestasi murid. Selain itu, kajian ini menunjukkan teknik permainan bahasa dapat mengelakkan murid menjadi bosan semasa proses pengajaran dan pembelajaran serta dapat menarik minat murid untuk mengikuti pembelajaran apabila guru menjalankan aktiviti-aktiviti yang menarik.
Teknik permainan bahasa mempunyai pelbagai jenis permainan yang boleh dijalankan oleh guru. Namun, penulis telah mencadangkan tiga jenis permainan iaitu silang kata bergambar, mencari benda tersembunyi serta “Roda Impian’ kosa kata. Hasil dapatan menunjukkan ketiga-tiga jenis permainan ini telah digunakan oleh guru semasa pengajaran. Ini menunjukkan teknik permainan bahasa bukan sesuatu yang asing bagi guru kerana guru yang mewakili responden pernah menerima latihan perguruan daripada institut pengajian tinggi awam dan telah mempelajari pelbagai teknik-teknik pengajaran. Kenyataan ini turut dipengaruhi oleh bidang pengkhususan responden serta pengalaman guru mengajar bahasa Melayu.
Permainan-permainan bahasa juga adalah permainan yang mudah dan tidak memerlukan penggunaan ruang dan masa yang banyak serta sangat menyeronokkan. Namun begitu, guru-guru perlu peka dalam menyediakan serta merancang permainan ini. Menurut Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1996), guru perlu merancang serta mengolah bahan agar sesuai dengan tajuk dan objektif pengajaran dan dijalankan mengikut jangka masa yang sesuai.
Penulis juga mendapati hasil daripada kajian ini akan memberi implikasi kepada beberapa pihak terutamanya guru. Guru perlu membuat persediaan yang rapi dari segi perancangan, persediaan harian dan juga bahan bantu mengajar yang akan digunakan dalam pengajaran. Selain itu, guru juga perlu memantapkan lagi ilmu pedagogi yang sedia ada dengan menyertai kursus-kursus pedagogi serta seminar-seminar yang berkaitan dengan teknik pengajaran. Pihak-pihak yang bertanggungjawab yang lain seperti kementerian pendidikan, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah serta pihak pentadbiran sekolah juga perlu memberi sumbangan dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah. Kesimpulannya, teknik permainan bahasa adalah salah satu teknik pengajaran yang berkesan dalam meningkatkan kemahiran bahasa murid khususnya kemahiran menulis. Selain itu, permainan bahasa boleh digunakan sebagai aktiviti pemulihan, pengukuhan dan penggayaan. Namun guru perlu bijak dalam merancang aktiviti yang sesuai yang melibatkan ketiga-tiga kelompok murid tersebut. Setiap aktiviti yang dijalankan perlu disusuli dengan latihan pengukuhan agar murid-murid sedar bahawa permainan bahasa bukan sekadar satu permainan tetapi satu proses pembelajaran yang dipelajari secara bermain dan santai.
*Artikel ini adalah petikan daripada penulisan akademik penulis bagi Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Kepujian) pengkhususan Pengajian Melayu.
06 Mac 2010
Pelaburan Yang Kurang Menguntungkan
Minggu hadapan adalah minggu ke-10 saya bertugas sebagai guru. Selama sembilan minggu bergelumang dengan warna-warni dunia pendidikan masih belum dikira sebagai satu tempoh yang panjang. Benih yang disemai masih belum lagi bertunas. Tempoh ini terlalu singkat untuk dinilai.
Saya adalah antara produk pertama pemegang ijazah perguruan kelahiran IPG. Selama 5 setengah tahun diisi dengan ilmu-ilmu perguruan. Kalau dibandingkan dengan seekor singa, tempoh 5 setengah tahun sudah dapat menjinakkan raja haiwan itu.
Sepanjang tempoh bermaustatin di institut pendidikan guru (IPG), sebanyak tiga buah sekolah telah menjadi tempat untuk saya menjalani latihan pratikum. Sebanyak empat buah sekolah sebagai persinggahan untuk meneguk sedikit pengalaman dalam program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), yang sebelum ini dikenali sebagai Rancangan Orientasi Sekolah (ROS). Keseluruhannya adalah sebanyak tujuh buah sekolah yang telah memberi sedikit sebanyak erti sebagai seorang guru. Ini tidak termasuk lagi beberapa buah sekolah yang saya lawati untuk menjalakan tugasan subjek.
Namun, hakikatnya, kesemuanya adalah sekolah yang terletak di dalam jajahan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Negeri kelahiran saya, negeri yang tidak pernah tinggalkan selama 23 tahun. Saya sudah fasih ber’loghat’ Terengganu, makan ‘kepok lekor’, ‘makang ikang aye’ dan makan Nasi Dagang.
Inilah kerugian dalam pelaburan saya semasa proses menjadi seorang guru. Sekarang saya ditempatkan di negeri Sarawak. Hampir 100% berbeza dengan suasana saya sebelum ini. Makanan, adat, budaya, fahaman politik, suasana keagamaan; segalanya berbeza.
Sekarang, saya seperti seorang yang baru menjengah ke alam perguruan. Segala pengalaman semasa tempoh pratikum payah untuk diaplikasikan di sini. Semasa pratikum, saya tidak menghadapi banyak kesukaran untuk mengajar, menarik minat murid, bergaul dengan rakan setugas, minum kopi dengan penduduk kampung. Ini kerana mereka adalah rakyat negeri Terengganu. Saya adalah rakyat negeri Terengganu. Saya boleh memahami loghat mereka, budaya mereka, tatacara mereka. Oleh itu, proses menimba pengalaman baru tidak berlaku kepada saya. Dengan kata lain, saya tidak belajar.
Keadaan ini berbeza dengan rakan-rakan yang bukan berasal di negeri Terengganu, sekurang-kurangnya mereka boleh belajar perkara baru dalam hidup mereka apabila bergaul dengan penduduk setempat. Mereka lebih beruntung.
Inilah cabaran yang perlu saya tempuhi. Cabaran yang tidak akan saya temui di tempat lain. Inilah peluang saya untuk mengenali masyarakat lain. Peluang yang rakan-rakan lain tidak dapat menikmatinya. Di sinilah letaknya kematangan saya sebagai seorang guru, sebagai seorang guru siswazah.
Alah bisa, tegal biasa.
Tak kenal maka tak cinta.
25 Februari 2010
Sekolah Kebangsaan Bakerkong
12 Februari 2010
Selamat Tahun Baru Cina
Malam tahun baru
Malam berkumpul
Yang tua dikunjungi
Yang muda mengunjungi
Luohan Zhai pembuka selera
Yee Sang penyambut tuah
Ikan ramuan terpenting
Limau dan Kuih Bakul mencuci mulut
Ang pau merah membawa tuah
Simbol kepada nasib baik
Letupan mercun merah
Bingitan yang menghalau roh jahat
Gong Xi Fa Cai
Kung Hei Fat Choi
Tahniah
Semoga membawa tuah
Chap Goh Mei menanti
Bagi memperingati kekasih
Selamat menyambut Tahun Baru Cina
22 Januari 2010
9nyawa - Ramlee Awang Murshid

.jpg)
15 Januari 2010
Kisah Anjing
.jpg)
12 Januari 2010
Cabaran - Part 1

10 Januari 2010
Sarawak Bumi Kenyalang
